CARA TUKAR TEMPAT MENGUNDI ONLINE PRU15 2022

Channel Telegram Rasmi Info Bantuan Kerajaan Malaysia Madani Terkini & Sahih! Khas Bantuan B40 & M40! Join : Bantuan Malaysia Madani 2024

CARA TUKAR TEMPAT MENGUNDI ONLINE PRU15 2022

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal berlangsung tidak lama lagi selepas pengumuman pembubaran Parlimen yang dilaksanakan baru-baru ini oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri. Sudahkah anda membuat semakan untuk tempat mengundi? Atau ingin menukar tempat mengundi mengikut alamat terkini?

Bagi yang bermastautin di sesuatu tempat baru, anda berpeluang mengubah tempat mengundi dalam daftar pemilih SPR mengikut alamat yang terkini dalam kad pengenalan. Bakal pengundi boleh berurusan dengan semua Pusat Pendaftaran dan Penolong Pendaftar Pemilih yang dibenarkan oleh SPR untuk membuat pendaftaran tukar alamat atau membuat permohonan secara atas talian.

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut tentang cara tukar tempat mengundi secara dalam talian menerusi laman MySPR.

Baca juga: CARA SEMAK ATAU CEK TEMPAT MENGUNDI (PRU15) 2022 ONLINE

BOLEHKAH PENGUNDI MEMOHON PERTUKARAN TEMPAT MENGUNDI SPR?

Mengikut Perkara 119(4) Perlembagaan Persekutuan jika seseorang pemilih berdaftar tidak membuat apa-apa permohonan untuk bertukar pusat mengundi, namanya tetap kekal disenaraikan di alamat asal tempat dia mendaftar sebagai pemilih walaupun pada hakikatnya dia telah pun menukar alamatnya dalam Kad Pengenalan di tempat baru.

Peraturan 12(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 pula menetapkan bahawa SPR hanya boleh menukar alamat pusat mengundi seseorang pemilih berdaftar jika pemilih berkenaan memohon pertukaran dan telah mengisi Borang A yang ditetapkan di bawah Peraturan 12 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

CARA TUKAR TEMPAT MENGUNDI

i) Permohonan Tukar Alamat Tempat Mengundi Secara Manual

Pemilih boleh hadir di mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Menara SPR, Putrajaya dengan membawa kad pengenalan.

Selain hadir ke Pejabat SPR, anda juga boleh membuat kemaskini alamat SPR melalui Pejabat Pos.

ii) Permohonan Tukar Alamat Mengundi SPR Online

Pemilih boleh membuat permohonan bertukar alamat mengundi melalui dalam talian di https://myspr.spr.gov.my

Langkah-langkah pertukaran adalah seperti berikut:

PERTUKARAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA / PERTUKARAN STATUS

  1. Sila layari pautan https://myspr.spr.gov.my/login
  2. Log masuk ke Akaun MySPR anda dengan mengisi No Kad Pengenalan, Kata Laluan dan CAPTCHA.
  3. Klik Borang A (Pertukaran Bahagian Pilihan Raya / Pertukaran Status) dengan mengisi borang yang disediakan.
  4. Pilih KATEGORI PEMILIH di Bahagian 1.
  5. Isikan ALAMAT LENGKAP SEPERTI DALAM KAD PENGENALAN / ALAMAT TEMPAT BERTUGAS / ALAMAT TEMPAT BERTUGAS PASANGAN dan maklumat yang dikehendaki.
  6. Muat naik GAMBAR DEPAN MyKad dan GAMBAR SWAFOTO bersama MYKAD berkenaan.
  7. Semak maklumat yang telah diisi dan klik HANTAR. Satu notifikasi MOHON TAC akan dipaparkan. Anda diminta untuk klik MOHON TAC.
  8. Anda akan menerima no TAC melalui e-mel dan SMS. Masukkan no TAC dan klik HANTAR.
  9. Anda akan menerima notifikasi “Borang A TELAH DITERIMA DAN SEDANG DISEMAK UNTUK KELULUSAN oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia” melalui e-mel.

PERMOHONAN TUKAR ALAMAT IC

Pengemaskinian alamat pada MyKad boleh dilakukan dengan hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran dan membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.

  1. Pemohon boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN yang berhampiran untuk memohon pertukaran alamat pada MyKAD.
  2. Pemohon perlu membawa dokumen sokongan sebagai bukti alamat baharu seperti bil utiliti / cukai taksiran / borang taksiran cukai pendapatan.
  3. Pemohon juga boleh menggunakan perjanjuan jual beli rumah / perjanjian / resit sewa rumah sekiranya bil utiliti tidak didaftarkan atas nama pemohon.
  4. Pemohon adalah diingatkan untuk membawa dokumen sokongan berkaitan dalam bentuk asal atau salinan yang diakui sah.

*Sekiranya pemohon tidak mempunyai dokumen yang dinyatakan di atas, pemohon perlu mendapatkan dokumen sokongan dari Ketua Kampung / Tuai Rumah / Penghulu / ADUN / Ahli Parlimen / Majikan atau dokumen lain yang boleh membuktikan alamat terkini mereka.

NOTA:

Prosedur perubahan alamat adalah sama seperti pendaftaran baharu.

Pemilih perlu menunggu sehingga diwartakan untuk bertukar tempat mengundi.

RUJUKAN

Jika terdapat sebarang soalan atau pertanyaan, sila hubungi pihak berwajib di bawah :

Menara SPR
No.2, Jalan P2T, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62100 PUTRAJAYA.
Tel : +603 8892 7200
Faks : +603 8892 7001
Email : webmaster@spr.gov.my.

Leave a Comment